Artikel di bawah adalah berkenaan punca dan tanda tanda yang sering terjadi jika seseorang itu mengidap penyakit batu karang.
Apakah Punca & Tanda Tanda Penyakit Batu Karang?
Air kencing terbentuk di dalam buah pinggang dan mengalir melalui saluran yang dipanggil ureter ke pundi kencing sebelum dikeluarkan. Batu karang atau kalkuli boleh ditemui di mana saja pada buah pinggang, ureter atau pundi kencing. Di Malaysia batu karang biasa ditemui di bahagian atas saluran kencing ( buah pinggang dan ureter).
Bagaimanakah batu karang terbentuk?
Batu karang terbentuk apabila sesetengah bahan/bahan-bahan tertentu di dalam air kencing mempunyai kepekatan yang tinggi dan menyebabkan pembentukan kristal. Ketidaksempurnaan dalam aliran saluran kencing akan menyebabkan mendapan dan pembentukan kristal. Kepekatan air kencing kebiasaanya berlaku kepada mereka yang dehidrasi/kurang air kerana kurang pengambilan cecair.
Jangkitan kuman di salur kencing yang berulang kali juga akan menyebabkan pembentukan batu karang. Individu yang terlalu banyak mengambil makanan laut juga merupakan salah satu penyumbang masalah batu karang ini. Kegagalan buah pinggang untuk berfungsi dengan baik akan menyebabkan berlakunya pemendapan dengan cepat. Selain itu, metabolisma juga merupakan salah satu faktor pembentukan batu karang.
Jenis-Jenis Batu Karang
1. Calcium oxalate
2. Kalsium Fosfat (Calcium Phosphate)
3. Asid urik
4. Cystin
Kalsium oxalate adalah 80% batu karang yang terbentuk daripada hasil campuran bahan kalsium dengan bentuk tajam dan bercabang. Kalsium fosfat terjadi kerana jangkitan kuman dalam air kencing dan ia bersifat alkali. Sesetengah serangan gaut boleh menyebabkan terjadinya pembentukan batu karang. Di Malaysia, kebiasaannya batu karang yang biasa ditemui adalah batu jenis kalsium oxalate, asid uric, dan kalsium fosfat.
Petua cegah batu karang
Batu karang mempunyai sifat yang berulang-ulang dan risiko untuk terjadi semula boleh berlaku kepada mereka yang pernah menghidap penyakit ini. Walaupun untuk sembuh secara menyeluruh agak sukar, tetapi terdapat beberapa cara untuk mengelak terjadinya batu karang ini iaitu dengan menjaga pemakanan dan minuman.
Buat individu yang pernah mengalami sakit batu karang, mereka digalakkan mengambil minuman sebanyak satu setengah liter setiap hari terutamanya waktu malam. Makanan seperti daging merah, makanan laut, dan makanan yang mengandungi asid urik yang tinggi perlu dielakkan. Sekiranya terdapat tanda-tanda penyakit batu karang ini, perlulah mendapat pemeriksaan daripada doktor pakar.
Tanda Tanda Penyakit Batu Karang
Bagi mereka yang mempunyai batu karang, kebiasaannya akan merasa sakit pada bahagian abdomen iaitu pada sisi kanan dan kiri pinggang. Tetapi, untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu mempunyai sakit batu karang, ia bergantung kepada tanda tanda yang dihidapi seperti:
Tanda-tanda penyakit batu karang seperti :
• Pesakit akan merasa kesakitan seperti berdenyut-denyut, berat dan sakit melilit yang amat sangat seolah-olah hendak bersalin.
• Loya-loya, hendak muntah dan berpeluh-peluh
• Serangan yang datang secara tiba-tiba.
• Tidak boleh kencing ( bergantung di mana letaknya batu karang tersebut )
• Kencing berdarah.
Sekiranya penyakit batu karang ini serius, jangkitan kuman akan berlaku di mana pesakit akan demam, menggigil serta akan merasa sakit yang teramat sangat pada bahagian tersebut sekiranya disentuh. Apabila adanya jangkitan kuman yang teruk, ia akan bernanah. Ada pesakit yang akan mengalami kencing bercampur nanah tetapi hanya dalam keadaan tertentu.
Pada peringkat yang kronik, pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan dengan gejala buah pinggang telah rosak, keadaan tubuh menjadi lemah, muka menjadi pucat akibat kekurangan darah di samping muka menjadi sembab serta kulit menjadi kering. Bagaimanapun, kesakitan atau tanda yang boleh dikenalpasti bergantung kepada;
• Lokasi di mana terbentuknya batu karang samada di saluran pundi kencing atau buah pinggang
• Saiz batu karang samada kecil atau besar juga memainkan peranan
• Keadaan dan umur pesakit, biasanya batu karang dihidapi oleh mereka yang berusia 25 tahun ke atas
• Jenis batu tersebut.
Senarai ubat batu karang